SEMBILAN kaunselor Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditempatkan di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh bagi memberi sokongan moral kepada waris mangsa tragedi tanah runtuh.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika membuat tinjauan khidmat kaunselor KPM di hospital berkenaan, hari ini.
Menurutnya, daripada sembilan kaunselor, tiga orang akan bertugas dalam satu sesi setiap hari.
“Seperti yang saya maklumkan semalam bahawa KPM akan menawarkan sokongan psikososial kepada keluarga dan juga waris mangsa dan hari ini saya boleh sahkan kita telah pun bertugas.
“Kita ada tiga sesi dengan setiap sesi seramai tiga orang.
“Jadi kaunselor ini akan terus bertugas dan Alhamdulillah kita juga dapat sokongan daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak hospital,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Fadhlina berkata, sokongan moral pada waktu ini amat penting memandangkan waris-waris mangsa tanah runtuh sedang berhadapan kesukaran dan diselubungi kesedihan.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyebut keutamaan untuk memberi ruang kepada waris mangsa pada waktu ini.
“Ketika ini proses untuk mereka hadapi sangat sukar dan jadi beri ruang bagi mereka. Saya minta itu sahaja.
“Mereka juga perlukan sokongan dari rakyat Malaysia untuk mendoakan agar proses ini dipermudahkan,” ujarnya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, status sesi persekolahan bagi guru-guru yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Katanya, sehingga ini dilaporkan, guru dan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong antara mangsa kejadian tanah runtuh yang berlaku awal pagi semalam.
Terdahulu, seramai tujuh guru wanita sekolah berkenaan mengadakan aktiviti perkhemahan anjuran peribadi di Batang Kali, sejak Rabu lalu yang turut disertai rakan dan keluarga.
Sehingga kini seramai 12 mangsa masih hilang, 21 maut dan 61 orang terselamat. – Malaysiapost

