Tanah runtuh: 2 lagi mayat ditemui, angka korban meningkat 23 orang

0
1

DUA lagi mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Genting Highland, setakat pukul 1.30 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kedua-dua mangsa ke-22 dan 23 itu merupakan wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki.

“Penemuan ini sekali gus menjadi jumlah keseluruhan mangsa ditemui adalah 23 orang,” katanya hari ini.

Norazam berkata, seramai 10 lagi mangsa masih dicari.

Difahamkan kedua-dua mayat itu ditemukan di sektor pencarian A iaitu tapak Hillview.

Mayat kedua-duanya ditemui dalam jarak yang dekat, namun tidak berpelukan.

Sehingga kini, mereka yang meninggal terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), satu kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan 4 dewasa (lelaki).

Terdahulu, enam daripada 21 mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh itu sudah dikenalpasti.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan di Facebook, berkata proses pengecaman mangsa dilakukan waris atau melalui ujian ‘finger printing’ (cap jari).

“Proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan,” katanya.

Seramai 135 petugas operasi dan menyelamat dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi semalam. – Malaysiapost

Kredit foto: JBPM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here