PERJANJIAN persefahaman (MoU) lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam, membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin mampu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian yang memaksa Ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya tidak menyokong Perdana Menteri, tidak pernah dilihat dalam mana-mana bentuk persefahaman atau undang-undang sebelum ini.
“Saya tidak pernah lihat dalam mana-mana undang-undang perkara seperti itu dilaksanakan kecuali yang berkaitan dengan akta lompat parti yang mana kalau tidak sokong mesti gugurkan kedudukan dia sebagai Ahli Parlimen.
“Jadi saya lihat macam Perdana Menteri tidak berapa yakin usul percaya itu boleh diteruskan (kerana) sepatutnya ada asas kepercayaan kepimpinan parti untuk sokong, tetapi tidak adalah menyokong (sehingga) seberat itu.
“Saya fikir Ahli Parlimen sepatutnya tidak terasa dipaksa, ini tidak boleh dipaksa walaupun mereka dalam gabungan itu ada sefahaman,” katanya dipetik Astro Awani.
Menurut Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, beliau telah mendengar pandangan daripada kumpulan peguam dan mendakwa MoU yang dimeterai semalam adalah tidak berperlembagaan.
“Saya diberitahu oleh sebahagian pendapat yang mana MoU semalam itu mungkin dari sudut undang-undang dikatakan tidak berperlembagaan, tidak berperaturan serta melanggar undang-undang (kerana) Ahli Parlimen ada hak kebebasan mereka dan itu ada dalam undang-undang.
“Maknanya kalau dia nak sokong, dia sokong lah dan kalau tidak pun ianya (jawatan) tidak tergugur.
“Kalau parti nak ambil tindakan disiplin itu soal lain, tetapi tidak perlu sehingga harus berhenti atau mengosongkan kerusi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, gabungan PN juga akan bermesyuarat pada esok untuk membincangkan pendirian berhubung usul undi percaya yang akan berlangsung pada sidang khas 19 Disember ini.
Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan. – Malaysiapost

