MB Kedah sedia jumpa PM di mahkamah

0
2
ALOR SETAR, 27 Mei -- Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

“JUMPA di mahkamah lah… kita kisahkan tentang sejarah,” kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam menjawab tuntutan saman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya semalam.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Kedah turut memuat naik jawapan balas terhadap tuntutan saman terbabit melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

Berdasarkan surat berkenaan yang dialamatkan kepada Tetuan SN Nair & Partners yang mewakili Anwar, beliau menafikan memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Peguam Yusfarizal Yussoff dan Adam Luqman Amdan yang mewakili Muhammad Sanusi dalam surat berkenaan memaklumkan diarah oleh anak guam mereka itu untuk menyatakan dengan jelas mengenai beberapa.

“Menafikan ada membuat ucapan pada 13 November 2022 yang disiarkan dalam akaun Facebook ‘Faizal Azumu’.

“Manakala artikel diterbitkan di portal Malaysiakini bertajuk ‘Kes liwat Anwar: Dulu kesian, sekarang PAS kata kena pikiaq’ bertarikh 14 November 2022 dan video dimuat naik di akaun rasmi portal berkenaan, bukan dalam kawalan anak guam kami.

“Oleh demikian, jika ada terdapat apa-apa olahan atau penambahan fakta, ulasan atau komen yang membawa unsur fitnah ia dibuat portal berkenaan dan diluar kawalan anak guam kami,” menurut surat berkenaan.

Peguam berkenaan turut mendapati surat tuntutan Anwar tidak menyatakan dengan jelas kata-kata fitnah yang dikatakan terkandung dalam ucapan dibuat Muhammad Sanusi yang menafikan dalam apa jua keadaan ucapan itu berunsur fitnah.

Surat berkenaan turut menyatakan ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa berunsur fitnah itu adalah berdasarkan fakta-fakta yang sememangnya berlaku.

Antara fakta-fakta berkenaan adalah Anwar telah dipecat daripada Umno daripada jawatan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan salah guna kuasa dan isu moral pada tahun 1998.

Pada 14 April 1999, Anwar telah dituduh dan disabitkan kesalahan atas empat pertuduhan termasuk salah laku seksual serta dihukum enam tahun penjara.

Fakta lain yang disebut dalam ucapan berkenaan adalah pada 16 Mei 2018, Anwar sememangnya telah diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong yang mana ketika itu Lembaga Pengampunan masih belum bersidang.

“Kami mempunyai arahan untuk memaklumkan, anak guam kami secara kolektif menafikan setiap tuduhan yang dinyatakan.

“Anak guam kami dengan ini merizabkan kesemua haknya yang diperuntukkan undang-undang,” menurut surat itu lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here