SEORANG lelaki kerugian dollar Amerika Syarikat (AS) 30,000 (RM132,870) apabila wang tunai berkenaan dilarikan dua warga asing dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Ampang Point, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari membabitkan mangsa yang ingin membuat penukaran mata wang dolar AS dengan ringgit Malaysia dan dijanjikan keuntungan RM15,000.
Menurutnya, mangsa bersama seorang rakan berjumpa dan menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki disyaki warga Lubnan sebelum berhenti di depan restoran terbabit.
“Ketiga-tiga mereka keluar dari kereta untuk tujuan perbincangan penukaran wang. Setelah persetujuan dicapai, mangsa mengeluarkan wang sebanyak dolar AS 30,000 dari beg sandang sambil diperhatikan suspek.
“Sebaik bungkusan berisi wang dikeluarkan, suspek bertindak merampasnya dan lari menuju ke sebuah kereta disyaki jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek telah meninggalkan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki bersama mangsa ditempat kejadian, selain turut meninggalkan sejumlah wang ringgit Malaysia yang disyaki palsu.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merompak berkumpulan tanpa senjata dan boleh dihukum penjara sehingga tempoh 20 tahun serta dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
“Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki mata wang kertas palsu dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun,” katanya. – Malaysiapost

