Gerakan reformasi diimport melawan gelombang ‘hijau’ – Abdul Hadi

0
3

TAN Sri Abdul Hadi Awang mendakwa beberapa tokoh muda PAS pernah mendapat undangan kursus di negara jiran bagi melakukan perubahan politik negara dengan menjatuhkan kerajaan melalui gerakan dinamakan reformasi.

Presiden PAS itu berkata, peristiwa berkenaan berlaku beberapa tahun lalu dan beliau diberitahu ceramah dalam kursus tersebut diisi oleh beberapa tokoh politik, pakar tentera negara besar dan negara tuan rumah, pensyarah dan lain-lain.

Menurutnya, undangan itu dihadiri dari beberapa negara termasuk tokoh dari Malaysia.

“Beberapa langkah susulan juga turut dilakukan, termasuk melibatkan kedutaan asing yang diundang melakukan campur tangan dalam urusan negara kita.

“Secara khusus, sudah pasti Islam yang diberi lambang warna hijau menjadi sasaran, kerana dianggap sebagai pencabar kepada ideologi Timur dan Barat yang sedang mengalami kemelesetan,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi berkata, di Malaysia slogan reformasi digunakan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan cara yang sama, iaitu cara yang tidak demokratik oleh kumpulan yang dinamakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Katanya, PAS mengundurkan diri daripada kumpulan itu, setelah mengkaji sedalam-dalamnya kerana tiada faedah bertempur dengan anggota polis melalui perancangan jahat bermotifkan politik kotor yang diatur pihak asing.

Menurutnya, PAS mengalu-alukan kenyataan pemimpin DAP yang mendedahkan wajah sebenar terhadap Islam, apabila membuat kenyataan kemarahan terhadap kejayaan PAS yang diberikan nama gelombang ‘hijau’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

“Sehinggakan, berlakunya gerakan bagi menghalang penubuhan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh PAS dengan cara yang terang lagi bersuluh, walaupun melalui tangan-tangan ghaib yang tersembunyi.

“Mereka mengoyakkan topeng yang melindungi wajahnya yang sebenar, supaya lebih meyakinkan kita kepada perjuangan Islam dan mengenali siapakah kawan dan lawan.

“Ditelanjangkan dirinya sendiri, betapa slogan menentang rasuah, perompak, lanun dan segala salah laku hanya penuh kepura-puraan sahaja,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata niat DAP jelas apabila bertindak mengajak semua pihak yang dikutuk sebelum ini untuk bergabung dalam Kerajaan Perpaduan bagi mencukupkan jumlah sokongan tanpa rasa malu.

“Perjuangan mereka (DAP) melalui ideologi pragmatik yang disembunyikan dan berpura-pura dengan wajah yang dapat menarik kalangan yang beragama sehingga boleh ditipu atau disebabkan oleh jahil agama atau tidak beragama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here