JABATAN kerajaan diarah untuk merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlaksanaan subsidi bersasar itu juga perlu dipastikan kelancaran dan keberkesanannya.
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bil 4 untuk tahun 2022 hari ini, menegaskan Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat.

Menurutnya, ia bagi menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.
“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10 peratus dari angka itu yakni sejuta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50 peratus subsidi elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebanyak tiga kertas telah dibentangkan dalam Mesyuarat NACCOL yang mengupas isu, tantangan dan strategi secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Laporan-laporan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh berkaitan terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna.
“Kerajaan juga konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan. Sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk mengeksport,” katanya.
Anwar berata, kerajaan berhasrat memudahkan industri berkenaan untuk mengeksport ke luar produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat.
Menurutnya, ia termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan.
Beliau berkata, ketika ini isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk.
“Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna.
“Mesyuarat NACCOL telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan. Perkara ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Kabinet akan membuat keputusan esok,” katanya.
Menurut Anwar, Mesyuarat NACCOL hari ini turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, semua Menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai tertinggi kerajaan serta agensi kerajaan diketuai oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Ketua-ketua Setiausaha kementerian.
“Mesyuarat hari ini membincangkan mengenai isu yang telah dibangkitkan pada mesyuarat khas yang lalu, di mana saya sendiri telah berikan masa selama dua minggu kepada kementerian terbabit untuk membentangkan semula kertas yang komprehensif setelah mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang terlibat,” katanya. – Malaysiapost

