MENTERI Kesihatan Dr Zaliha Mustafa akan memulakan beberapa inisiatif di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan yang pertama dilaksanakannya adalah inisiatif tuala wanita percuma.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan adalah usaha memerangi ‘kemiskinan haid’ yang sebenarnya telah mendapat sambutan di peringkat global serta sudah ada polisi-polisi berkaitan inisiatif berkenaan.
“Program dinamakan ‘Period Poverty’. Saya sebagai Menteri Kesihatan wanita yang pertama..saya rasa elok diadakan inisiatif ini di KKM sendiri dan akan mulakan di tandas di Pejabat Menteri iaitu kita akan mengadakan pemberian tuala wanita percuma.
“Saya rasa ini inisiatif yang pertama..nampak kecil tapi impaknya besar. Kalau lihat di negara seperti Scotland sudah ada polisi khusus untuk inisiatif ini. Nanti kita akan pergi lebih mendalam lagi,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KKM yang pertamanya, di Putrajaya hari ini.
Dr Zaliha turut mengakui beliau teruja untuk melaksanakan program berkenaan yang juga suatu inisiatif baru di negara ini, dan menurutnya inisiatif untuk golongan lelaki pula akan dilaksanakan kemudian di kementeriannya. – Malaysiapost

