DUA penjenayah mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Jeniang-Kalai, Gurun, Kedah dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata kedua-dua suspek dikesan berada di dalam kereta berhampiran loji air dalam keadaan mencurigakan sebelum diarah berhenti oleh polis untuk pemeriksaan.
Beliau berkata, bagaimanapun pemandu kereta berkenaan bertindak memecut menyebabkan polis terpaksa memintas kenderaan dinaiki kedua-dua suspek.
“Ketika polis mahu membuat pemeriksaan, dua suspek terlibat terus melepaskan tembakan membuatkan berlaku insiden tembak-menembak.
“Anggota polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek yang mati ditembak adalah lelaki tempatan berusia 61 dan 48 tahun.
“Siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai lebih 60 rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
“Suspek berkenaan juga turut dikehendaki polis kerana terbabit dalam lebih 15 kes samun,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan dua pucuk pistol serta pelbagai peralatan pecah rumah di dalam kenderaan dinaiki suspek.
Menurutnya, mayat kedua-dua suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. – Malaysiapost

