Presiden Timor-Leste adakan lawatan khas ke Malaysia hari ini

0
1

PRESIDEN Republik Demokratik Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta, akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia hari ini dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan 6ang dikeluarkan oleh Wisma Putra, memaklumkan pertemuan itu bagi pemimpin negara jiran berkenaan mengucapkan tahniah secara peribadi atas lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Menurut Wisma Putra, pertemuan itu juga bagi kedua-dua pemimpin berkenaan menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta meneroka ruang kerjasama yang baharu.

“Presiden Ramos-Horta juga dijadual untuk mengadakan kunjungan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah semasa lawatan khas ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan erat dan mesra sejak sebelum kemerdekaan negara berkenaan lagi pada 2002.

“Ini terbukti apabila Malaysia menjadi negara pertama yang menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dikalangan ASEAN yang menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.

“Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kurus latihan pembinaan kapasiti untuk pegawai Timor-Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pada 2021 Malaysia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Timor-Leste, destinasi eksport ke-13 serta sumber import ketujuh.

“Dari Januari hingga Oktober 2022, jumlah perdagangan dua hala Malaysia dan Timor-Leste telah direkodkan pada USD84.6 juta dengan nilai eksport berjumlah USD62.8 juta dan nilai import berjumlah USD21.8 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here