BN perlu bijak untuk kekal, kembali bangkit – Shamsul Anuar

0
4

SITUASI politik negara kini sudah sangat berubah, berbanding dahulu yang memerlukan Umno dan Barisan Nasional (BN) bertindak secara bijak untuk kekal dan kembali bangkit.

Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah isyarat supaya bekerja dengan lebih gigih untuk memenangi hati serta menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau menegaskan sekiranya Umno dan BN kekal bersama rakyat, maka rakyat akan tetap bersama parti dan gabungan berkenaan.

“Bila diberikan amanah, insya-Allah saya akan berkhidmat dengan jujur dan amanah demi negara serta rakyat tercinta, biar dimanapun kedudukannya. Paling utama jangan sesekali lupa, kita adalah hamba Allah.

“Yakinlah, semua ini adalah atas kehendak-Nya. Dia yang mengatur segalanya. Kerana itu sebagai pejuang parti, saya akan patuh dan akur dengan apa yang diputuskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Parlimen Lenggong, membuat hantaran itu selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, semalam.

Shamsul Anuar, merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan kepercayaan untuk menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan diterajui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Pastinya kepada Presiden Umno/Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan BN kerana telah mencalonkan saya.

“Kepada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) yang juga Pengerusi BN Lenggong dan seluruh pimpinan BN serta pengundi saya kawasan Parlimen Lenggong saya rakamkan penghargaan terima kasih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here