Rafizi jawab soal politik diluar waktu kerja mulai minggu depan

0
2

MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli, menegaskan beliau akan memberi tumpuan dalam soal kerja serta rakyat, dan hanya akan berdepan dengan isu politik di luar waktu kerja.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat.

“Saya faham perang media sosial masih panas, mainan politik Perikatan Nasional (PN) dan PAS terus berlaku. Tetapi tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat.

“Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, keutamaan sekarang adalah melaraskan dasar-dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023 yang dijangka lebih menguji kekuatan dan daya tahan ekonomi negara.

“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan Perikatan Nasional (PN)/PAS. Saya akan menjawab isu-isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.

“Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” katanya.

Rafizi berkata, selepas seminggu memahami keadaan semasa kementerian, beliau akan mula mengeluarkan kenyataan politik sebagai Timbalan Presiden PKR untuk menggariskan perancangan dan usaha menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Menyiarkan kandungan-kandungan politik (selain dari kandungan mengenai dasar dan program sebagai menteri) supaya kita mematahkan sentimen kebencian yang dibawa sekarang,” katanya.

Sementara itu beliau menegaskan, kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan yang berkaitan hanya akan dibuat melalui saluran rasminya sebagai menteri.

Rafizi berkata, mulai Januari 2023 pula beliau juga akan mula menggerakkan kempen untuk PRN di enam negeri terbabit seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan.

“Jadi kepada kawan-kawan yang risau di luar, insya-Allah kami ada perancangan yang disusun untuk berdepan dengan lawan politik. Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik.

“Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden parti. Masa untuk kita zahirkan perubahan budaya politik,” katanya.

Beliau berkata, tidak seperti PN dan PAS yang ketika menjadi kerajaan semua berpuas hati, namun kebajikan rakyat tidak terjaga, sebaliknya selepas dibuang dari kerajaan oleh rakyat baru lantang bersuara.

“Kita jumpa di pentas rakyat dan Parlimen nanti. Biar rakyat hakimi siapa yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat dengan amanah yang diberikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here