Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi – Muhyiddin

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=574259370724922&set=pb.100044225926298.-2207520000..&type=3

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah masih wujud dan berfungsi walaupun bekas Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti, tegas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

“Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

“Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu dan PN Sabah sehingga penyusunan semula diputuskan oleh MPT Bersatu dan Majlis Tertinggi (MT) PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menzahirkan rasa kecewa dengan sikap Hajiji yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam Bersatu yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyentuh mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Terdahulu kepimpinan Bersatu Sabah termasuk semua wakil rakyatnya, mengumumkan keluar daripada parti itu semalam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi GRS dan Barisan Nasional (BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata berikutan tindakan itu mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya untuk sementara waktu ini, mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here