Perkhidmatan teksi air Pulau Pinang dijangka beroperasi 2024

0
2

PULAU Pinang bakal mempunyai perkhidmatan teksi air lengkap yang dijangka beroperasi pada 2024.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, perkhidmatan tersebut merupakan mod pengangkutan awam baharu yang boleh digunakan di negeri itu.

Menurutnya, perkhidmatan teksi air itu juga antara yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

“Perkhidmatan teksi air ini bakal dijadikan satu akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar. Contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian dan urusan peribadi.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau selain menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang,” katanya dipetik Sinar Harian.

Susulan itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah membuka permohonan cadangan (RFP) kepada syarikat yang berminat untuk menyertai tender projek tersebut.

Zairil berkata, syarikat yang ingin menyertai RFP itu dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan di dalam dokumen RFP.

“Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000 untuk menyertai RFP ini.

“RFP akan dibuka pada 12 Disember ini dan ditutup pada 27 Februari 2023 secara dalam talian.

“Syarikat yang berminat perlu berdaftar dengan Sistem Perolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui laman web https://ep.penang.gov.my untuk membeli dokumen RFP ini,” katanya.

Menurut beliau, syarikat diwajibkan menghadiri sesi penjelasan RFP pada 19 Disember ini sebelum membeli dokumen RFP.

“Walaupun kita mempunyai cadangan lokasi jeti di Batu Maung, Straits Quay, Terminal Pelayaran Swettenham Pier dan Pulau Jerejak, namun syarikat yang menyertai RFP perlu mencadangkan lokasi jeti yang dirasakan sesuai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here