Dr Zaliha teruskan perjuangan KJ dalam KKM

0
1

MENTERI Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan meneruskan perjuangan Khairy Jamaluddin yang mahu membawa sektor kesihatan ke peringkat lebih cemerlang.

Dr Zaliha berkata, hasrat mantan Menteri Kesihatan ketika pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diteruskan sekali gus memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat juga beberapa perkara yang perlu diteliti semula atau ditambah baik dalam Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak terkecuali pasti ada kemungkinan perkara yang perlu diketepikan selari kehendak semasa. Namun dalam membuat keputusan besar melalui sektor terpenting ini, perkara tersebut pasti perlukan masa untuk ditekuni satu persatu.

“Buat masa ini, masih dalam proses meneliti segala polisi sedia ada supaya keputusan pada masa mendatang selari dengan agenda mendahulukan rakyat, dan mencapai matlamat Kerajaan Perpaduan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zaliha memulakan tugas pada 5 Disember lalu, sekali gus wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, sebagai wanita pertama menduduki jawatan Menteri Kesihatan, pasti naluri keprihatinannya amat tinggi untuk memenuhi apa yang diinginkan rakyat dan warga penjawat awam dalam sektor itu.

“Walau perkara yang menghujani dalam komentar dan mesej di media sosial itu adalah perkara berbangkit sejak dahulu, kini menjadi tanggungjawab di bahu wanita selaku menteri ini mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya lagi.

Sebelum memasuki bidang politik, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Dr Zaliha kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Beliau aktif dalam bidang poltik pada 1999 sebagai Ketua Wanita PKR Johor dan enam tahun kemudian dilantik Pengerusi PKR negeri sebelum menjawat Naib Ketua Wanita PKR pada 2007. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here