Muhammad Mustakim Ramli
“SEPATUTNYA Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Umno,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata, Umno, Bersatu dan PAS sudah bersama dalam satu kerajaan dan masing-masing menyumbang kepada penubuhan kerajaan. Jadi setiap parti yang bersama perlu diberikan layanan sewajarnya.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang diberikan parti itu kepada Perikatan Nasional (PN) adalah banyak disumbangkan oleh Umno.
“Macam (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) ‘and the gang’ dia sumbangkan lebih kurang sembilan sahaja kerusi berbanding dengan Umno 30,40 lebih kerusi.
“Boleh dikatakan semua Azmin ‘and the gang’ dapat kedudukan jawatan yang begitu baik. Kenapa ini berlaku?,” katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, ia bukan perebutan jawatan tetapi jawatan itu adalah perkara penting.
“Kalau jadi menteri belia, hal-hal belia ja la.. kalau pertanian ia menyeluruh.. boleh memberi perkhidmatan membela rakyat di seluruh negara. Baru ada kekuatan.
“Menteri luar bandar begitu juga…jadi kalau kita tengok Umno..belia, sains, perpaduan. Bagi la Umno ekonomi, pertanian atau perdagangan ka.. baru hebat. Ini menteri sains.. sains apa? kaji apa inovasi apa.
“Umno kompenan paling besar dalam kerajaan PN sewajarnya diberikan penghargaan, pengiktirafan tetapi malangnya tidak begitu,” katanya.
Beliau berkata, hal demikian yang menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati sejak dari mula.
“Bukan Umno nak kuasa..bukan kerana pangkat tetapi kerana kedudukan itu memberikan platform kepada kita sebagai parti untuk berkhidmat yang memenuhi kehendak rakyat.
“Kalau jadi parti tak leh bela rakyat apa makna… terkonteng-konteng macam parti Berjasa apa dia boleh buat? Parti Perjuang? Apa dia boleh juang?,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, berbeza dengan PAS, parti itu diberikan tempat dan kedudukan yang hebat berbanding Umno.
“Macam PAS tidak sebesar Umno tetapi dia diberikan tempat dan kedudukan hebat.
“Jadi menteri itu, timbalan menteri ini. Ia menjadikan parti itu mempunyai kekuatan untuk mereka berkhidmat kepada rakyat,” katanya.-Malaysiapost

