Polis dedah identiti suspek lompat pagar

0
2

POLIS mendedahkan identiti suspek lelaki yang melarikan diri sebaik dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dalam kes Macau Scam, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek Goh Leong, berusia 32 tahun itu dikehendaki bersabit siasatan membabitkan tiga kes mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Suspek terbabit dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Menurut rekod, suspek menetap di Blok 25B2-5-8, Miharja Condo, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Deputi Superintendan (DSP) Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Huzir berkata, orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Faizal Asuar di talian 017-3126411 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Semalam media melaporkan, dalang utama sindiket Macau Scam bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai melarikan diri dengan dibantu dua pengawal peribadinya, dari Ibu Pejabat (SPRM), Putrajaya pada Ahad lalu.

Malah, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta Perodua Myvi telah menunggu di tepi jalan. -Malaysiapost