PM tidak terbabit proses menamakan calon menteri – Fahmi Fadzil

0
3

PEMILIHAN calon-calon barisan Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan, bukan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya diputuskan oleh kepimpinan parti-parti yang menjadi gabungan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, menjelaskan Perdana Menteri tidak terbabit dalam proses menamakan calon-calon berkenaan.

Menurutnya, proses pemilihan calon Jemaah Menteri bagi parti-parti yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan dibuat secara musyawarah oleh pimpinan parti masing-masing.

“Adakah Perdana Menteri boleh melantik atau menolak sesiapa sahaja yang dia suka? Tidak.

“Dalam Kerajaan Perpaduan ini yang terbentuk dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan parti-parti lain, format atau cara (pemilihan calon Jemaah Menteri) yang kita persetujui ialah konsep musyawarah atau memutuskan secara bersama.

“Dan yang penting Perdana Menteri menyerahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan siapakah calon-calon mereka sebagai Jemaah Menteri.

“Perdana Menteri tidak terlibat dalam proses menamakan calon itu,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Menjelaskannya lebih lanjut, beliau yang kini memegang portfolio Menteri Komunikasi Digital, berkata dengan format itu maka calon bagi PKR ditentukan PKR, calon BN diputuskan BN dan begitu juga calon GPS diputuskan pimpinan GPS.

“Ini adalah sebagai satu langkah di mana kita memahami apa yang telah berlaku pada 2018, 2020 dan 2021 dimana seringkali Jemaah Menteri dilantik dari kalangan mereka yang bukan dipilih oleh pimpinan parti.

“Dan pada waktu itu seingat saya pada 2018 sebagai contoh, ada beberapa menteri yang telah dipilih dan dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bukan dari senarai PKR.

“Akhirnya apa yang berlaku pada kami, PKR wujud ‘parti dalam parti’ dimana struktur organisasi parti itu tidak dihormati oleh kelompok kartel dan ‘pengkartelan’ ini memberi kuasa kepada sesetengah pihak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata keadaan itu jelas melanggar konsep Kerajaan Perpaduan, maka cara itu ditolak dan pemilihan kali ini lebih mengutamakan konsep musyawarah dan berdasarkan keputusan majoriti.

“Ini bagi saya sangat penting untuk mencapai kestabilan dalam setiap parti dan dalam setiap gabungan serta untuk Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut memohon agar penerangan mengenai proses pemilihan menteri-menteri dalam Kerajaan Perpaduan itu disampaikan kepada orang ramai.

“Hari ini saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan tugas secara rasmi.

“Saya mohon doa dari kawan-kawan semua agar kami Ahli-ahli Jemaah Menteri akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jayanya, dan senantiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here