SELEPAS hampir seminggu mengunci mulut, akhirnya Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bersuara mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai unik kerana menyaksikan gabungan parti politik yang bersengketa sebelum ini membentuk kerajaan bersama-sama.
Rafizi juga mendedahkan beliau antara perunding utama yang bertanggungjawab menyelaras penubuhan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ketika ini.
“Keputusan PRU-15 unik apabila tiada gabungan yang dapat membentuk kerajaan secara majoriti, menyebabkan Perikatan Nasional (PN) atau PH tidak boleh membentuk kerajaan tanpa penyertaan BN.
“Kebuntuan itu hanya ada jalan keluar apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan gabungan politik membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi video dimuat naik di TikTok.
Menurutnya, walaupun Yang di-Pertuan Agong menitahkan Kerajaan Perpaduan, namun PN awal-awal lagi sudah menolaknya kerana tidak mahu kerjasama dengan PH.
“Sebab itu dalam satu borang, mereka (PN) terus menulis ‘tidak bersetuju’ di atas draf persetujuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Kemudian, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dan diikuti BN keesokkan harinya yang akur dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi mendakwa, PN bertindak tidak jujur apabila mengaku mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan, sedangkan perkara itu merupakan ‘ulang tayang’ Langkah Sheraton.
Beliau berkata, kegagalan PN untuk mencuri ahli Parlimen menyebabkan gabungan itu tidak berpuas hati, seterusnya menggelarkan Kerajaan Perpaduan dengan pelbagai panggilan dan akan berterusan untuk beberapa minggu akan datang.
Jelas Rafizi, rakyat telah memberi isyarat jelas menolak pengkhianatan politik seperti yang berlaku dalam Langkah Sheraton.
“Takkan Muhyiddin tak sedar kalau teruskan Langkah Sheraton, silap-silap menjadi Perdana Menteri hanya beberapa bulan sahaja.
“Apa guna mengundi dan meluluskan Akta Anti Lompat Parti kalau undang-undang itu dibuang kerana mahu menjadi kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Rafizi menjelaskan, kedudukannya sebagai perunding yang menyelaras Kerajaan Perpaduan sebelum ini menghalangnya dari mengeluarkan sebarang kenyataan ekoran terikat dengan kerahsiaan rundingan. – Malaysiapost

