KAPTEN Harimau Malaya yang baru mendirikan rumahtangga, Safawi Rasid bakal beraksi di Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC, selepas saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengesahkan penyerang dan pemain sayap lincah berusia 25 tahun itu telah dipinjamkan kepada Ratchaburi.
Selain Safawi, skuad Harimau Selatan itu juga mencapai persetujuan dengan kelab Thailand itu untuk meminjamkan pemain import dari Mali, Moussa Sidibe.
“Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang,” katanya menerusi kenyataan ringkas di Facebook kelab berkenaan.
Terdahulu, sebuah portal antarabangsa melaporkan Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana sebagai berkata kelab berkenaan mencapai persetujuan dengan JDT untuk mendapatkan khidmat Safawi.
Piala AFF 2022 dijadualkan bermula 20 Disember hingga 16 Januari.
Safawi yang menyertai JDT dari Terengganu FC II pada Januari 2017, sebelum ini pernah dipinjamkan ke kelab di divisyen utama Portugal, Portimonense SC selama tiga bulan pada hujung 2021.
Pemain kelahiran kelahiran Dungun, Terengganu itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama pelakon, Syifa Melvin Isnin lepas. – Malaysiapost

