Gagal patuh kuarantin: Khairuddin harap pihak berkuasa segera umum siasatan

0
3

DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap pihak berkuasa segera mengumumkan hasil siasatan susulan kegagalannya mematuhi kuarantin wajib sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegaskan beliau bersikap terbuka dalam siasatan itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.

“Saya dah sebut sebelum ini, tunggu hasil siasatan dan dalam hal ini saya sangat terbuka, saya sangat berharap disegerakan umum hasil siasatan.

“Buat masa ini, saya diingatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai menghormati peraturan dan undang-undang dan saya serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, beliau berpuas hati dan yakin dengan kenyataan yang diberikan kepada pihak berkuasa.

“Saya serah pada kerajaan untuk bertindak ke atas saya, jika saya ada buat kesalahan.

“Saya serahkan pada Peguam Negara dan saya tidak mahu ada tafsiran lain pula. Setakat ini tidak timbul isu dakwa atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin dikritik banyak pihak kerana kegagalan mematuhi kuarantin, malah jumlah kompaun dikenakan terhadapnya juga menjadi bahan sindiran warganet. -Malaysiapost