DALANG utama sindiket Macau Scam bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai melarikan diri dengan dibantu dua pengawal peribadinya, dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada Ahad lalu.
Sebelum kejadian, kesemua sembilan suspek yang sudah tamat tempoh reman mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat SPRM untuk proses dokumentasi jaminan.
Sebaik tiba di ibu pejabat SPRM, kehadiran anggota dan pegawai polis di lobi utama menyebabkan semua suspek enggan keluar dari kenderaan masing-masing.
“Masa itu, ada dalam kalangan ahli keluarga suspek juga hadir untuk proses jaminan. Selain itu, terdapat kekecohan di lobi utama apabila kesemua orang kena tahan (OKT) enggan turun dari kenderaan kerana kehadiran anggota polis yang ramai di lobi Ibu Pejabat SPRM.
“Hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam yang hadir, pihak polis akur dan bersetuju untuk menunggu di pintu utama luar Ibu Pejabat SPRM,” kata sumber seperti dilaporkan Sinar Harian.
Menurut sumber, setelah selesai proses dokumentasi jaminan, kesemua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing keluar dari Ibu Pejabat SPRM.
Katanya, terdapat empat kenderaan jenis Toyota Vellfire telah memasuki Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil suspek.
“Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama telah ditahan polis dan suspek-suspek ditangkap semula.
Bagaimanapun, salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan dan diserahkan SPRM kepada peguam beliau.
“Suspek tersebut telah masuk ke dalam kenderaan Toyota Vellfire bersama-sama peguam, pengawal peribadi dan pemandu.
“Namun, dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, suspek dipercayai telah keluar dari kenderaan tersebut dan melarikan diri ke pagar sisi iaitu berdekatan pintu belakang bangunan SPRM.
“Suspek dibantu dua lagi pengawal peribadi yang telah bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar dan meloloskan diri dari tangkapan polis,” katanya, hari ini.
Sumber berkata, kejadian itu disedari selepas polis menahan kenderaan terbabit.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta Perodua Myvi telah menunggu di tepi jalan,” katanya.
-Malaysiapost

