PAKATAN Harapan (PH) Johor hari ini, menafikan dakwaan bahawa parti itu bersedia menjalin hubungan politik bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, berkata laporan media mengenai perkara itu semalam didakwa tidak benar.
“Ini kerana ketika wartawan tersebut bertanya saya, saya telah menyatakan bahawa pembentukan kerajaan boleh dibuat dengan mengadakan kerjasama dengan mana-mana Adun secara individu yang bersetuju.
“Termasuk dengan menerima konsep PH plus bukan bersama parti secara ‘en bloc’ seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aminolhuda berkata, beliau mengulangi pendirian PH Johor bahawa pembentukan tersebut dilakukan atas dasar keinginan Adun yang mahu membentuk kerajaan secara stabil.
“Namun bukan dalam keadaan seperti sekarang ini di mana kerajaan di Johor terbentuk berdasarkan majoriti yang terlalu tipis,” katanya.
Adun Parit Yaani itu berkata, kestabilan politik akan dapat memberangsangkan ekonomi negeri terutama dalam suasana Covid-19 ketika ini.
“Ia sekali gus membantu rakyat dari segi peluang pekerjaan.
“Sehubungan itu, pembukaan pintu untuk mana-mana Adun menyokong PH Johor amat dialu-alukan tanpa ada sebarang ‘demand’ atau permintaan berkepentingan peribadi.
“Ia dalam usaha mengekalkan mandat rakyat yang diberikan sewaktu Pilihan Raya Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya.
Justeru, beliau berharap kenyataan yang dikeluarkan media semalam tidak disalah erti.
Semalam media melaporkan, PH Johor sedia menjalinkan hubungan dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam laporan itu, Aminolhuda dipetik sebagai berkata, PH Johor bersedia menerima Adun khususnya yang pernah bersama PH ketika PRU-14 mahupun mana-mana ADUN Umno untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri. -Malaysiapost

