ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta semua pihak meredakan suhu politik negara terutama yang menyebabkan kerenggangan agama dan kaum sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sudah pun bertitah supaya tiada lagi pemimpin membangkitkan isu perkauman dan agama yang bertujuan menghasut masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, penubuhan kerajaan perpaduan adalah peluang untuk mengembalikan politik nilai di negara ini, dengan menolak perbuatan menunggang sentimen agama dan kaum yang sempit sehingga meruntuhkan kemakmuran masyarakat.
Beliau berkata, kerajaan baharu memikul amanah merintis kembali keharmonian masyarakat, antaranya dengan menetapkan penambahbaikan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam portfolio serta kementerian berkaitan perpaduan dan integrasi nasional.
“Akarnya adalah reformasi pada budaya dan cara fikir bangsa. Identiti kaum dan agama harus terus diperkukuh dengan tujuan untuk membangunkan bangsa.
“Sebaliknya, identiti tidak seharusnya digunakan untuk menyalakan api perkauman secara destruktif, disulami hasutan dan fitnah yang membawa kepada kebencian serta dikhuatiri menjurus ke arah keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, ABIM menggesa seluruh pihak khususnya pemimpin politik supaya tidak mengheret masyarakat terjerumus ke kancah perpecahan semata-mata untuk meraih sokongan, sebaliknya bersama meletakkan agenda pembinaan negara di hadapan.
Semalam, Tuanku Muhriz menitahkan semua pemimpin politik negara ini, berhenti daripada membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut masyarakat.
Tuanku Muhriz turut menitahkan supaya pentadbiran kerajaan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menggunakan peluang yang ada, sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi. – Malaysiapost

