Anwar tak pertimbang jawatan Menteri kewangan

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempertimbangkan untuk memegang jawatan Menteri Kewangan sebelum barisan Kabinet diumumkan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, bagaimanapun beliau akan melihat semua kemungkinan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Kami akan melihat semua kemungkinan tetapi pada masa ini saya tidak mempertimbangkannya (memegang jawatan Menteri Kewangan),” katanya.

Beliau ditemui di Masjid Putra selepas menunaikan solat Jumaat, di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai hari pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar mengakui sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan.

“Bagus dan sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan,” katanya ringkas.

Sebelum ini, Anwar memegang portfolio Menteri Kewangan selama lapan tahun antara 1990 hingga 1998 di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, pada sidang media pada hari pertamanya selepas mengambil alih Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Anwar berkata saiz Kabinetnya akan dikurangkan, selain sedang mendapatkan persetujuan calon menteri untuk mengurangkan gaji mereka.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata saiz Kabinet akan dikecilkan kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding 31 menteri di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here