Syed Mohd Fazmi nafi rancang ‘bunuh’ kredibiliti ‘Bossku’

0
2

DATUK Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad menafikan rakaman suara perbualan telefon dua individu yang tular di media sosial merancang menjatuhkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah suaranya.

Setiausaha politik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menyifatkan penularan audio palsu yang membabitkannya sebagai satu percaturan politik yang jahat dan jijik.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman audio yang tular adalah suara saya.

“Saya terkejut dan kecewa dengan penyebaran audio berkenaan yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan bekas Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua Umno Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

“Penularan audio palsu itu merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik. Tindakan itu juga membuktikan usaha berterusan untuk memusnahkan reputasi saya sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Kesembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa ia juga adalah konspirasi jahat dan terancang pihak tertentu untuk menjatuhkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno.

“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi membuktikan bahawa rakaman ini adalah satu fitnah jahat.

“Saya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan ini,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman audio perbualan telefon yang didakwa membabitkan Fazmi dan Mohd Salim yang dikatakan mahu ‘membunuh’ kredibiliti ‘Bossku’.

Rakaman audio berkenaan dimuat naik di laman Facebook Najib dengan pentadbir akaun berkenaan meminta individu terbabit tampil membuat penjelasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here