KEPUTUSAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, demi kebaikan negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau sudah menyampaikan keputusannya menyertai kerajaan kepada Anwar, malam tadi.
“Saya sampaikan hasrat kerajaan negeri GRS kepada Anwar malam tadi.
“Demi kebaikan Sabah, kestabilan politik, maka kita memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan Persekutuan,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan, pihaknya tidak mahu rancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan politik.
Sebaliknya, beliau mahu agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan sebagai keutamaan untuk rakyat Sabah.
“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik dan bermacam gangguan kerana yang penting ialah kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau juga yakin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN0 di negeri itu.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi PH memaklumkan Kerajaan Perpaduan sudah mencapai sokongan dua pertiga susulan keputusan GRS menyertai pentadbirannya. – Malaysiapost

