PROSES demokrasi melalui Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu menyaksikan gelombang rakyat yang sekali lagi menolak Barisan Nasional (BN) dengan ramai calon-calonnya yang bertanding tewas walaupun menunjukkan prestasi cemerlang sebagai wakil rakyat dan juga Menteri Kabinet.
Antara keputusan paling mengejutkan adalah kekalahan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di salah satu kubu kuat BN, iaitu Parlimen Kepala Batas.
Reezal Merican yang menerima kekalahan itu dengan berlapang dada serta menegaskan khidmatnya di Kepala Batas tidak akan terhenti hanya dengan keputusan PRU-15 berkenaan.
Rakyat Kepala Batas turut mengakui khidmat dan jasa yang dicurahkan pemimpin berkenaan selama dua penggal di parlimen itu dan rata-rata menyifatkan kekalahannya adalah kerana penolakan rakyat kepada pucuk pimpinan Umno dan BN.
“Kekalahan Datuk Seri Reezal bukan disebabkan pengundi Kepala Batas tak mahukan Datuk, tapi mereka tak mahu pemimpin dalam Umno.
“Peribahasa Melayu ada cakap disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga,” luah pengguna Facebook Che Mohamad Mark di ruangan komen Facebook Reezal Merican.

Seorang lagi pengguna media sosial Zainuddin Yusoff menyifatkan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu antara pemimpin politik terbaik dalam negara.
“Sebagai pengundi Kepala Batas, antara penyokong Datuk Seri sejak dua penggal yang lepas..tapi kali ini saya wajib untuk tidak bagi undi kepada Datuk..demi PN untuk Putrajaya,” luahnya.
Pengguna Facebook menggunakan akaun nama Medula Spinaliz mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau, namun memohon maaf tidak memilihnya kali ini kerana atas faktor kesilapan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“YB Reezal adalah calon terbaik untuk Kepala Batas. Orang lain buat salah…orang lain pula yang kena denda. Rugi besar untuk Kepala Batas. Khidmatnya tidak diambil kira langsung,” luah Ak Muniandy pula.
Tinjauan komen-komen di laman sosial Reezal Merican turut mendapati rata-ratanya masih sayangkan beliau sebagai wakil rakyat di Kepala Batas, namun penolakan terhadapnya kali ini adalah susulan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pucuk pimpinan BN.
Dalam PRU-15 pada 19 November lalu penguasaan BN di Kepala Batas sejak 1974 berakhir apabila calon penyandangnya, Reezal Merican tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Dr Siti Mastura Muhammad memperolehi 28,604 undi dengan majoriti sebanyak 2,867 undi.
Reezal Merican bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU-14 itu, bahkan lebih buruk lagi BN Pulau Pinang kehilangan kesemua kerusi yang menjadi kubu kuat Umno di negeri itu termasuk Parlimen Tasek Gelugor. – Malaysiapost

