Pelantikan Anwar, lonjak imej dan rancakkan ekonomi Malaysia

0
1

PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri baharu dijangka mampu mengembalikan keyakinan syarikat asing melabur di Malaysia, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara.

Selain itu, pakar ekonomi berpandangan, dasar dibawa kerajaan baharu seperti memerangi rasuah, memulihkan ekonomi negara dan tadbir urus baik juga mampu meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pakar ekonomi dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Zaini Abd Karim, berkata kerajaan baharu kali ini dilihat lebih stabil kerana ia gabungan parti politik besar di negara ini.

“Dengan fokus utama untuk memerangi rasuah,melantik menteri cekap serta berwibawa, ia mampu meningkatkan ekonomi negara.

“Malah, dengan kestabilan politik dan polisi yang jelas, tadbir urus baik, telus mampu menarik lebih ramai pelabur,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost

Sementara itu, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula berpendapat pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 mampu menjadikan Malaysia sebagai antara pemain penting ekonomi dunia.

Beliau berkata, sentimen rakyat dan pemimpin negara luar dilihat positif kerana pentadbiran Anwar dikenali prihatin terhadap hal ehwal isi rumah warga Malaysia.

“Semalam pun, nilai mata wang dan pasaran melonjak dengan pelantikan itu yang dilihat membawa sentimen positif dalam pasaran.

“Anwar mempunyai ramai kenalan dan jalinan hubungan baik di luar negara yang sentiasa menyokongnya, sekali gus memberi potensi Malaysia sebagai pemain ekonomi dunia,” katanya.

Barjoyai percaya ekonomi Malaysia turut terjejas tahun depan berikutan kegawatan ekonomi dunia, namun beliau percaya kerajaan sudah memikirkan langkah sewajarnya supaya tidak bertambah buruk.

“Kita nak melihat keajaiban apa yang Anwar boleh kemukakan untuk memantapkan ekonomi negara seperti menarik lebih ramai pelabur asing.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu memberi pemerhatian teliti terhadap kenaikan harga barang dan inflasi yang dijangka terus meningkat tahun depan,” katanya.

Beliau meminta kerajaan memberi fokus terhadap import makanan yang tinggi iaitu hampir RM65 bilion.

Sehubungan itu, beliau berkata, Anwar perlu menggunakan jalinan baik dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) membawa masuk teknologi digunakan negara itu sebagai antara strategi keselamatan makanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here