Bukti keabsahan PM: Tindakan Anwar berani, berprinsip

0
3

PENDIRIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10 di Parlimen disifatkan sebagai tindakan tepat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata ia satu keputusan betul daripada segi politik dan perundangan, bagi memastikan negara akan dapat terus bergerak ke hadapan.

“Saya hadir di sidang akhbar pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim jam 9 malam semalam.

“Saya mendengar sendiri Anwar berkata bahawa sidang Parlimen akan diadakan pada 19 Disember dengan agenda terawal ialah mengenai usul undi percaya ke atasnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasan berkata, sebagai rakyat biasa dan Ahli Parlimen, beliau memuji sikap berani dan berprinsip Anwar yang bersedia melalui perkara itu di Dewan Rakyat.

“Anwar bersedia berhadapan dengan risiko yang tinggi. Satu Konvensyen di Parlimen Malaysia akan terbina pada 19 Disember depan.

“Iaitu apabila seorang Perdana Menteri telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan peruntukan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,

“Maka Perdana Menteri yang dipilih itu sekiranya keabsahannya dicabar maka hendaklah segera membentangkan usul kepercayaan selaras.

“Ia selaras Perkara 43(4) yang berbunyi: ‘Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapatkan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan’,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, beliau menerima cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu keabsahannya sebagai Perdana Menteri dibuktikan pada sidang Dewan Rakyat, 19 Disember depan.

Anwar berkata, beliau telah meminta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk mengemukakan usul undi percaya kepadanya pada sidang Parlimen itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here