JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersetuju meminda tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2022 bagi subjek yang dijadualkan pada Isnin ini ke tarikh lain susulan cuti peristiwa yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, JAKIM memaklumkan pindaan kali kedua itu membabitkan subjek UPKK 02/01 Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang dijadualkan pada Isnin ini dipinda ke 5 Disember 2022.
“JAKIM telah bersetuju untuk membuat pindaan tarikh UPKK Tahun 2022 kali kedua bagi subjek UPKK 02/01 Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) berdasarkan pengumuman Perdana Menteri berkenaan cuti peristiwa pada 28 November 2022 (Isnin).
“JAKIM amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan serta menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK Tahun 2022,” menurut kenyataan itu.
Pada Oktober lalu, JAKIM meminda UPKK yang dijadualkan pada 14 hingga 17 November ini ke 28 November hingga 1 Disember 2022.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pindaan itu adalah bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 November 2022. – Malaysiapost

