Aiman Hanif
UMNO akan memuktamadkan syarat baharu yang akan dikemukakan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) Sabtu ini selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat.
Menurut sumber yang juga pemimpin kanan parti itu, apa yang dibangkitkan dalam mesyuarat biro politik semalam, akan dimuktamadkan Sabtu ini.
“Umno akan memutuskan syarat-syarat baharu bagi kerjasama parti itu dengan PN Sabtu ini.
“Mesyuarat MKT Umno Sabtu ini akan memutuskan perkara-perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat biro politik.
“Syarat-syarat baharu itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Ditanya bila pertemuan dengan Perdana Menteri akan berlangsung, sumber berkata: “Dalam masa terdekat nanti”.
Katanya, tiada pertemuan mana-mana wakil Umno dengan Perdana Menteri hari ini seperti dilaporkan media.
Semalam, mesyuarat biro politik Umno membuat pertimbangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik parti itu.
Umno mahu mengemukakan syarat serta perjanjian secara bertulis baharu bagi menyokong kerajaan PN.
Mengulas lanjut sumber berkata, Umno tidak akan sama sekali menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Sebaliknya, apa yang mereka lakukan ini adalah “tekanan” kepada Muhyiddin supaya membuat pembaharuan dalam kerjasama antara parti itu.
“Umno tidak pernah sesekali menyokong Anwar, sebab itu mesyuarat semalam tidak membangkitkan isu berkenaan,” katanya.- Malaysiapost

