AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu Dewan Rakyat mendengar dan memutuskan segera usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi persidangan lalu.
Menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu, beliau mendakwa Muhyiddin telah menolak usul yang sama sebanyak dua kali.
“Usul tidak percaya ini amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan, termasuk kesahihan kerajaan sekarang ini di bawah kepimpinan perdana menteri.
“Sekiranya usul tersebut disokong oleh sebahagian besar (majoriti) Ahli-ahli Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga meminta usul tersebut dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera.
“Saya berpendapat bahawa usul tersebut seharusnya dikemukan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera.
“Ia agar kerajaan kepimpinan Perdana Menteri kini dapat mengesahkan kewajaran di Dewan Rakyat,” katanya. – Malaysiapost

