Aiman Hanif
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan keputusan biro politik Umno tidak menyentuh soal sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Najib, keputusan itu adalah munasabah ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid-19.
“Keputusan mesyuarat Umno semalam tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar jadi PM ataupun bekerjasama dengan DAP (namun Guan Eng tentu ‘happy’ jika dia berpeluang kerjamasama dengan saya).
“Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin Umno, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid-19.
“Dan jika Perikatan Nasional (PN) boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional (MN) tidak boleh?,” tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.
Malam tadi mesyuarat biro politik Umno membuat pertimbangan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik parti itu.
Umno mahu mengemukakan syarat serta perjanjian secara bertulis baharu bagi menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pendirian tiada kena mengena kes mahkamah
Dalam pada itu, Najib berkata sokongannya terhadap keputusan parti adalah atas kapasitinya sebagai orang parti.
“Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda PH (Pakatan Harapan) dan Tun Mahathir (Mohamad) sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.
“Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah SWT.
“Saya yakin dan past saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Tun Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya,” katanya.
Tambah Najib, beliau juga tidak akan menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN selagi mana namanya tidak dibersihkan. – Malaysiapost

