PEMBENTUKAN kerajaan Perak pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukti kematangan bagi melihat kepentingan rakyat mendahului sentimen dan emosi berkempen.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata keunikan kerajaan Perak baharu ialah terdiri gabungan dua parti yang selama ini dalam pihak bertentangan.
“Barisan Nasional (BN) yang majoritinya daripada Umno di satu pihak dan PH terdiri daripada Amanah, DAP dan Keadilan berada pada satu pihak yang lain.
“Pertentangan mereka bukan sahaja dari pergelutan politik tetapi masing-masing punya budaya dan retorik ideologi parti berbeza. Mereka juga punya pengikut berbeza persepsi terhadap parti masing-masing.
“Namun segala pertentangan ini tidak menjadi halangan kepada keperluan berperundangan untuk membentuk kerajaan. Undang-undang adalah bebas ideologi, undang-undang hanya melihat kepada prinsip dan ia perlu dipatuhi tanpa sentimen dan emosi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Perak dibentuk selepas persetujuan bersama antara PH dan BN dicapai.
PH yang memiliki 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bergabung dengan BN yang menang 9 kerusi DUN sekali gus membolehkan menubuhkan kerajaan Perak, semalam.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN.
Mujahid berkata, pihaknya akan memastikan prinsip besar pemerintahan akan dilaksanakan dalam kerajaan Perak melalui panduan Maqasid Syariah dan Prinsip Manusiawi yang unggul.
Katanya, kejayaan di Perak akan membuktikan bahawa retorik politik ketaksuban, ekstrimisma dan fitnah tidak relevan dan menjadi pinggiran.
“Politik sempit hanya sesuai untuk pemimpin-pemimpin yang meletakkan diri mereka pada tahap picisan,” katanya. – Malaysiapost

