Cikgu Shukri mulakan tugas sebagai MB Perlis baharu

0
1

MENTERI Besar Perlis yang baharu, Mohd Shukri Ramli memulakan tugas rasminya, hari ini.

Mohd Shukri, 61, tiba di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar dengan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau kemudian mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya pada jam 9 pagi.

Mohd Shukri yang mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ berkata, beliau akan berusaha menjalankan tugasnya dengan baik demi rakyat di negeri ini.

“Ini adalah pengalaman baharu. Bermulalah dunia baharu selepas lama tidak masuk pejabat, saya akan menyesuaikan diri dengan rutin ini setelah lama bersara sebagai guru,” katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, Mohd Syukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, beliau sudah menghantar nama barisan EXCO Kerajaan Perlis kepada PN pusat semalam.

“Kita tunggu lampu hijau daripada PN pusat dulu untuk buat keputusan,” kata.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis akan diadakan di Istana Arau pada petang Jumaat ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Mohd Shukri atas pelantikan itu.

“Semoga Allah SWT sentiasa memberkati dan membantu setiap perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

“Seterusnya berjaya mewujudkan pemerintahan yang prihatin, bersih, dan stabil kepada rakyat Perlis seluruhnya. Siru ‘ala barakatillah,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, semalam.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Shukri Ramli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here