TAN Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kedua-duanya dilaporkan keluar meninggalkan kediaman masing-masing pagi tadi.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat meninggalkan kediaman beliau di Bukit Damansara, pada jam 10 pagi tadi.
Selepas hampir dua jam keluar kenderaan membawa Muhyiddin dilihat memasuki semula kediaman beliau di Bukit Damansara, sebentar tadi.
Namun, kenderaan berkenaan tidak berhenti meskipun pengamal media melambai serta melaung ke arah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Velfire yang dinaiki Muhyiddin.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) secara berseloroh memaklumkan kepada media beliau ingin keluar untuk ‘menonton wayang’
“Saya nak tengok wayang,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditegur oleh sekumpulan media ketika mahu meninggalkan rumahnya di Bandar Sungai Long.
Kenderaan BMW hitam yang membawa Anwar meninggalkan rumahnya pada jam 11.22 pagi tadi. Difahamkan beliau akan pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya.
Semalam, Anwar dan Muhyiddin dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Menurut Anwar, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum membuat sebarang keputusan siapa yang bakal dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10.
Pada masa sama, beliau berkata, Seri Paduka menitahkan bahawa wujud keperluan agar kerajaan yang terbentuk selepas PRU15 adalah kerajaan yang kukuh.
Bagaimanapun, Muhyiddin memaklumkan kepada baginda yang gabungan parti itu tidak mahu bekerjasama dengan PH, kerana itu menjadi prinsip gabungan terbabit sejak dulu.
Muhyiddin berkata, beliau diminta menandatangani satu dokumen berhubung cadangan itu, namun beliau menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di antrara PN dan PH. – Malaysiapost

