TULAR tangkap layar mesej dikatakan kumpulan WhatsApp Ketua-Ketua Bahagian Umno Malaysia tentang pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.
Tangkap layar yang kini tular di media sosial memaparkan perbualan dalam kumpulan berkenaan termasuk oleh individu dipercayai Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bera, yang menegaskan beliau bersedia dipecat.

“Saya sedia dipecat…tetap tidak akan bersama PH,” kenyataan dalam tangkap layar berkenaan.
Mesej tular itu dipercayai turut memaparkan beberapa Ketua Umno Bahagian lain yang terbabit dalam perbualan itu termasuk Ketua Umno Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Batu Datuk Yahya @ Abas Mat Ghani.
Kedua-dua ketua bahagian berkenaan menyokong pendirian Ismail Sabri termasuk sedia dipecat daripada parti.
Terdahulu, Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dilapor akan memuktamadkan keputusan untuk bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan, esok.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata perbincangan mengenai rundingan itu sedang berjalan ketika ini dan tiada kata putus dicapai setakat ini.
Jawatankuasa Perundingan BN diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan perundingan itu bersama enam lagi pimpinan tertinggi BN.
Antaranya Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Proses bagi mengemukakan gabungan parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk pembentukan kerajaan dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10, tamat sehingga jam 2 petang esok. – Malaysiapost

