PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa parti itu akan menggunakan kedudukan dalam Kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut memberi jaminan parti itu akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai kerusi terbesar di kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.
Menurutnya, perkara itu telah dibuktikan semasa penyertaan PAS dalam Kerajaan Persekutuan selama 31 bulan sebelum ini yang sentiasa akur kepada segala keputusan bersama, sama ada di dalam Jemaah Kabinet mahupun di peringkat Kementerian dan agensi kerajaan.
“PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, PAS tidak akan menekan mana-mana pihak, terutama negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.
“Malahan PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang Bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri,” katanya.
Beliau turut menegaskan, ahli-ahli PAS adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya para profesional dalam pelbagai bidang.
“Dengan demikian mereka akan menunaikan tanggungjawab secara profesional juga apabila diberikan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensinya,” katanya. – Malaysiapost

