KERJASAMA Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) berlaku selepas BN mendapati tiada sebarang peranan parti berkenaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata BN Perak mengambil inisiatif selepas mendapati PH dan PN tidak boleh duduk semeja dan membentuk kerajaan, meskipun memperoleh jumlah kerusi lebih banyak berbanding BN.
Menurutnya, PH pula bertindak menemuinya dan menawarkan peranan kepada BN dalam kerajaan baharu.
“Pertama, BN akan diberi jawatan menteri besar. Esok, ada tiga Exco daripada BN akan angkat sumpah, dan ditambah seorang lagi ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN). Maknanya, kami diberi peranan dalam kerajaan perpaduan ini.
“Berbanding dengan PN, mereka tidak mahu datang berjumpa saya untuk berunding atau memberi apa-apa peranan,” katanya dalam sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang tadi.
Beliau berkata, bukan BN yang mahukan jawatan Menteri Besar, malah BN Perak sudah bersedia menjadi pembangkang kerana hanya memenangi sembilan kerusi DUN, tetapi PH menawarkannya sebagai syarat membentuk kerajaan campuran.
Katanya, Umno Perak akan mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi menjelaskan situasi dan keadaan sebenar.
“Insya Allah kita akan buat keputusan susulan untuk kita turun padang bagi memaklum dan menerangkan kepada semua ahli rasionalnya kita ambil tindakan sebegini,” katanya. – Malaysiapost

