BAYI perempuan yang dilahirkan di Filipina, awal Selasa lalu, menjadi ‘individu kelapan bilion di dunia’.
Menurut laporan GMA News, bayi diberi nama Vinice Mabansag itu dilahirkan di Hospital Memorial Dr Jose Fabella, di sini, pada jam 1.29 pagi.
Ketua kakitangan perubatan hospital itu, Dr Romeo Bituin berkata, pihaknya menyaksikan ‘bayi kelapan bilion dunia’ di Filipina.
“Kami menunggu kira-kira dua jam bermula jam 11 malam dan bayi itu dilahirkan kira-kira jam 1.29 pagi,” katanya.
Ibu Vinice, Maria Margarette Villorente, berkata, dia gembira kerana anak perempuannya dianggap sebagai ‘bayi kelapan bilion di dunia’, sambil menambah bahawa ia adalah satu rahmat untuknya.
Menurut laporan media, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meraikan 16 November lalu sebagai tarikh jangkaan penduduk dunia akan berjumlah lapan bilion.
PBB menganggarkan untuk mencapai populasi dunia sebanyak sembilan bilion pula akan mengambil masa 15 tahun lagi, disebabkan kadar pertumbuhan yang perlahan. – Malaysiapost

