Dewan Tertinggi BN tak pernah bincang pembentukan Kerajaan Perak – Ka Siong

0
3

DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak pernah pernah berbincang tentang gabungan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perak.

Perkara itu diberitahu Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang berkata, sejak berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelmarin, mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum lagi diadakan.

“Saya sebagai Presiden MCA dan Naib Pengerusi Barisan Nasional tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan langsung.

“Entah dari mana keputusan itu dicapai! Dewan Tertinggi BN diketepikan,” katanya dengan meletakkan emoji kecewa di Facebook hari ini.

Tambah mengecewakan, Ka Siong berkata, Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyokong PH bergabung dengan BN untuk membentuk kerajaan.

Dalam hantaran terdahulu, Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam tidak menyangka pertemuan Ahli Parlimen BN hari ini melibatkan sekali dengan Ahli Parlimen PH.

Katanya, beliau menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam tadi yang memaklumkan perjumpaan hari ini hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN.

Tetapi sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, Ka Siong berkata, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan tersebut.

”Saya tidak tahu samada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan. Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengahari.

”Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja.

”Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH.

“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here