Pemimpin PAS beri bayangan PN bakal bentuk kerajaan baharu

0
3

NAIB Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, memberi bayangan pembentukan kerajaan baharu diterajui Perikatan Nasional (PN) akan dibuat dalam masa terdekat.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), memohon doa orang ramai supaya urusan berkenaan dipermudahkan.

“Doakan semoga Allah permudahkan pembentukan kerajaan baru dalam masa terdekat,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hanya memuatnaik sepotong ayat Quran: “Cukuplah bagi kami Allah, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong kami.” tulisnya.

Semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg memaklumkan, gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN dan Barisan Nasional (BN).

Abang Johari berkata, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama PN.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, pihaknya sudah mencapai persetujuan dan persefahaman dengan beberapa pihak bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya sebagai blok terbesar, mereka mempunyai majoriti melebihi 111 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here