PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tindakan Pengerusi BN berunding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak sah mengikut perlembagaan parti, jika benar berlaku.
“Presiden Umno dan Pengerusi BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan MKT Umno dan Majlis Tertinggi BN.
“Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh Presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan terakhir Umno telah memutuskan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR dan DAP.
“Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ini semua ada hikmahnya.
“Sekali lagi saya memohon dan merayu supaya Presiden Umno meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, ahli Umno sedang menunggu tindakan berjiwa besar Presiden untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, namun beliau sebaliknya, jika benar sebagaimana dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan PH.
“Ahmad Zahid telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya, antara punca kekalahan teruk BN. Beliau tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak,” katanya.
Media melaporkan pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di sebuah hotel pada jam 10 pagi ini.
Bagaimanapun perincian pertemuan itu tidak didedahkan, namun difahamkan untuk memuktamadkan kerjasama PH dan BN. – Malaysiapost

