Bukan saja Zahid, semua kena letak jawatan – Bung Moktar 

0
3

KESEMUA kepimpinan Umno perlu bertanggungjawab menanggung kekalahan paling teruk Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.  

Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata bukan sahaja Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berseorangan perlu meletak jawatan, sebaliknya semua kepimpinan parti harus memikul tanggungjawab kekalahan termasuk dirinya.  

Beliau berkata, kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 ini merupakan sejarah hitam parti itu sepanjang bertanding dalam PRU.  

“Sebenarnya kesemua kepimpinan Umno perlu bertanggungjawab. Jadi kena letak jawatan kesemuanyalah kalau kena letak jawatan. Semualah termasuk saya.  

“Ini adalah pengalaman terburuk pada Umno dan BN. Kita menawarkan kestabilan dan kemakmuran tetapi rakyat tolak jadi berusaha cara lain,” katanya ketika ditemui media di Menara Dato On, Kuala Lumpur, hari ini.  

Mengulas lanjut masa hadapan Umno selepas kekalahan teruk PRU15, Bung berkata, Umno akan bangkit dengan melakukan perubahan untuk memberi nafas baharu.  

“Setiap parti perlu ada transform dia punya parti. Senario PRU kali ini berbeda dengan yang lalu. Akan datang pun berbeda. Sebab itu kita kena teliti dalam menentukan masa depan kita.  

“Ini bermakna kepimpinan akan bertukar ganti. Kita akan pastikan Umno dan BN akan terus memberi nafas baru kepada rakyat di bawah dan kita akan memikirkan cara yang terbaik untuk parti akan ‘survive’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here