Pemimpin Umno terus desak Zahid letak jawatan

0
3

PEMIMPIN Umno terus ‘bersuara’ menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terbaharu, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan, meminta Ahmad Zahid berundur secara terhormat sebagai Persiden Umno dan Pengerusi BN.

Beliau berkata, pengunduran Ahmad Zahid itu bagi membolehkan kepemimpinan lain membuat keputusan besar seterusnya untuk Umno dan BN, termasuk bergabung dengan parti lain bagi membentuk kerajaan.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu memutuskan gabungan mana yang mahu disertai untuk membentuk kerajaan, bukannya bersandar keputusan individu atau kelompok saja.

“Benar, ada konsep ‘collective responsibility’ dalam sesuatu kegagalan. Benar, Umno perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 (kerusi Parlimen) di PRU15. Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh MKT, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.

“Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu. Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi).

“Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau (Ahmad Zahid) sebagai individu, saya berpandangan pemimpin nombor satu Presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Shahril Hamdan juga mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno susulan kekalahan BN pada PRU15.

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar. Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama Umno. Perjuangan parti belum selesai. ‘This is not the end’,” katanya.

Pada PRU15, Shahril tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah dalam persaingan empat penjuru deimenangi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yang meraih 28,178 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here