
SELEPAS hanya memenangi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) dikatakan telah bersedia untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Wartawan veteran A Kadir Jasin, berkata beliau mendapat perkhabaran baharu Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghulur ‘ranting’ kepada PH.
“Malah dikatakan yang sebelum Subuh tadi Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana Negara mengenai hal itu.
“Ia bersangkut-paut dengan penubuhan kerajaan campuran di kalangan PH, BN dan parti-parti dari Sarawak dan Sabah bagi mengatasi situasi parlimen tergantung. Kalau betul Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
A Kadir berkata, dengan keputusan yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukan sahaja situasi Parlimen tergantung, malah dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan Pahang turut menghadapi perkara sama.
“Dalam pilihan raya umum semalam tidak ada parti yang mendapat majoriti (112 kerusi) bagi membentuk kerajaan. PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 dan BN 30.
“Melalui persetujuan atau tawaran ini, kerajaan pusat boleh ditubuhkan dengan menjemput parti-parti dari Sarawak dan Sabah yang ingin bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata, di peringkat DUN, kerjasama tersebut akan membolehkan PH membentuk kerajaan di Perak, manakala BN di Pahang.
“Apa pun halnya, kita wajib mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin memandangkan pelbagai masalah genting yang dihadapi oleh negara dan rakyat jelata,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran sedang dalam perbincangan membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.
Ia susulan bekas Perdana Menteri itu menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediamannya hari ini.
Katanya, rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen bebas. – Malaysiapost
