PRU15: Asyraf Wajdi mahu ‘berdamai’ dengan takdir, redha dengan kekalahan

0
2

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerima kekalahannya di kerusi itu dengan hati terbuka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Ketua Pemuda BN itu juga meminta semua ahli dan penyokong parti menerima keputusan berkenaan dengan redha.

“Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada 13,728 rakyat Parlimen Gerik yang telah memilih saya dalam PRU kali ini.

“Namun, benarlah hanya Allah pemilik segala kekuasaan. Dialah yang berhak memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan menariknya daripada sesiapa yang Dia dikehendaki.

“Maka berdamailah dengan takdir dan redhalah saya atas setiap apa yang ditentukan kepada diri ini,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut berterima kasih kepada seluruh jentera BN yang bertungkus lumus memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik di Gerik mahupun seluruh negara.

“Tahniah buat semua yang menang dan bersabarlah kepada semua ahli dan penyokong yang keputusannya tidak memihak kali ini,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap keputusan PRU15 kali ini akan dapat menzahirkan sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten pilihan rakyat.

Terdahulu, Asyraf Wajdi gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gerik yang sebelum ini kubu kuat Umno apabila hanya memperolehi 13,728 undi pada PRU15, semalam.

Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob yang memperoleh 15,105 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here