Kit Siang cadang PH, PN, parti Borneo bergabung, Anwar PM

0
2

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mencadangkan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan parti di Sabah dan Sarawak bergabung membentuk sebuah kerjasama.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan campuran berkenaan dipimpin oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya, cadangan kerajaan gabungan tersebut bagi memulihkan kemerosotan negara dan menjadikan Malaysia hebat bertaraf dunia dan untuk melawan rasuah.

Menurutnya, Malaysia mempunyai sebuah Parlimen tergantung selepas pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Tambah beliau, melalui kerjasama 82 Ahli Parlimen PH, 73 Ahli Parlimen PN dan 35 Ahli Parlimen Borneo sudah tentu negara mempunyai kerajaan yang kuat.

“Gabungan untuk menjadikan Malaysia hebat ini akan mempunyai 190 orang Ahli Parlimen, yang melebihi dua-pertiga dari 222 kerusi Parlimen.

“Dan boleh meminda Perlembagaan Malaysia untuk mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah kepada seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum PRU15 berlangsung, Kit Siang menegaskan, antara perjuangan awal beliau selepas bersara politik adalah untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri.

Sementara itu Kit Siang berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.

Ujarnya, Ahmad Zahid perlu memberi ruang untuk Umno dan BN untuk kembali kepada prinsip asal pembinaan negara yang dipegang oleh empat orang presiden terawal Umno.

“Saya telah mulakan perjalanan politik saya 57 tahun yang lepas dalam hari-hari hegemoni Umno, di mana keretakan kecil sudah menjadi satu krisis nasional.

“PRU15 semalam mungkin kelihatan seperti satu bencana untuk Malaysia. Tetapi ia sepatutnya dilihat sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara normal, yang hebat dan bertaraf dunia,” ujarnya.

BN yang dipimpin oleh Ahmad Zahid mengalami kekalahan teruk pada PRU15 selain gagal mempertahankan sejumlah besar kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here