PERATUSAN keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di seluruh negara hari ini mencatatkan jumlah yang tinggi dengan 50 peratus dilaporkan sudah menunaikan tanggungjawab untuk proses demokrasi berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan jumlah peratusan itu setakat jam 1 tengah hari tadi.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
“Statistik keluar mengundi bagi Hari Mengundi PRU Ke-15 pada jam 1 tengah hari: Peratus keseluruhan: 50 peratus,” menurut SPR.
Tinjauan Malaysiapost di pusat mengundi bagi Parlimen Sungai Buloh di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, mendapati ramai pengundi keluar untuk membuang undi pada sebelah pagi.
Pengundi dilihat mula beratur sewal jam 7.30 pagi untuk membuang undi dengan mengikut arahan petugas SPR dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka.
Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU-15 yang dimuat naik di laman sesawang SPR, pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang. – Malaysiapost

